Friday, 30 April 2010

Taman Wonderland dibuka 15 Mei

Datuk Seri Mohd Ali Rustam melihat kerja-kerja pembinaan Melaka Wonderland

gambar hiasan


gambar hiasan
gambar hiasan
MELAKA 29 April - Impian Melaka untuk memiliki Taman Tema Air sehebat Sunway Lagoon di Kuala Lumpur menjadi kenyataan apabila produk pelancongan terbaru dikenali sebagai Melaka Wonderland, Taman Tema & Resort bernilai RM80 juta akan dibuka kepada orang ramai 15 Mei ini.

Taman tema yang dibina di kawasan seluas 9.2 hektar terletak di belakang Taman Botanikal di Ayer Keroh, menyediakan 16 jenis permainan berunsurkan air dan mampu menampung kira-kira 8,000 pengunjung dalam satu-satu masa.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, Melaka Wonderland akan menjadi satu lagi tarikan terbaru kepada orang ramai khususnya pelancong dari dalam dan luar negara berkunjung ke negeri ini.

Menurutnya, taman tema itu dijangka menjadi kunjungan orang ramai kerana menyediakan 16 jenis permainan berunsurkan air dan boleh dikatakan setanding dengan apa yang disediakan di Sunway Lagoon.

''Saya puas hati dengan kerja-kerja pembinaan yang telah dilaksanakan kerana ia menepati jadual.
Hanya dalam tempoh lapan bulan taman tema ini dapat disiapkan sejak memulakan pembinaannya pada Julai 2009.

''Ini akan menjadi satu lagi produk pelancongan terbaru kepada orang ramai yang datang ke Melaka dan taman tema ini akan dibuka kepada orang ramai bermula 15 Mei ini.

''Saya yakin dengan kemudahan yang disediakan seperti 16 jenis permainan berunsurkan air untuk kanak-kanak dan orang dewasa, dijangka mampu menarik kehadiran lebih daripada 300,000 pengunjung setahun," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan singkat ke Wonderland Melaka semalam.

Mohd. Ali berkata, semua 16 jenis permainan telah siap dan boleh digunakan, cuma kerja-kerja pembinaan jalan raya masuk ke taman tema itu dan 200 tempat meletak kenderaan di peringkat akhir untuk disiapkan.

Sementara itu, Pengurus Besar Wonderland Melaka, Seow Cheng Swee berkata, taman tema tersebut bakal menjanjikan kegembiraan kepada pengunjung kerana menyediakan 16 permainan air termoden.

Menurutnya, antara permainan air yang akan menjadi tarikan apabila dibuka pada 15 Mei ini adalah Wave Rider, Anaconda Twister, Crazy Slide, Rexy Ride, Family Jollies, Tornado Chaser, Wave Pool dan Lazy Cum Crazy.

''Tornado Chaser adalah alat permainan air yang tidak terdapat di mana-mana taman tema air di negara ini. Ia sangat menarik dan mencabar kepada pengunjung yang berpeluang menaikinya," katanya.
Beliau menegaskan, kesemua alat permainan yang disediakan di Wonderland Melaka dijamin selamat selepas beberapa ujian dijalankan bagi memastikan ia tidak mendatangkan sebarang kemalangan kepada penggunanya.

Katanya, harga tiket yang telah ditetapkan untuk hari biasa adalah RM20 bagi kanak-kanak dan RM26 untuk dewasa manakala pada hujung minggu dan cuti umum pula RM30 untuk kanak-kanak dan RM35 untuk dewasa.

Katanya, pada hari biasa taman tema itu akan dibuka dari pukul 10 pagi hingga 7 malam manakala pada hujung minggu pula ia beroperasi dari pukul 9 pagi hingga 7 malam.
Di samping taman tema air, Cheng Swee berkata, pihaknya juga sedang membina sebuah resort dengan kemudahan 168 bilik penginapan termasuk, restoran, dewan, bilik seminar, bilik gimnasium dan sebagainya terletak tidak jauh dari Wonderland Melaka.
Katanya, projek tersebut yang kini dalam pembinaan dijangka siap sepenuhnya Januari 2011.


sumber:utusan

Kerajaan negeri batal beli Eye On Malaysia

eye on Singapore

eye on Malaysia Melaka

eye on London



bakal dibina, eye on Dubai

MELAKA 29 April - Kerajaan negeri mungkin membatalkan hasratnya untuk membeli Eye On Malaysia setelah pemilik asalnya Fitraco NV dari Belgium enggan menerima tawaran RM10 juta yang ditawarkan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, syarikat tersebut mahu menjual roda gergasi itu pada harga RM14.8 juta dan pada masa yang sama kerajaan negeri juga mungkin mendapatkan produk tersebut dari China.

Menurutnya, keputusan untuk membeli roda gergasi dari China dibuat kerana ia jauh lebih murah iaitu RM7 juta bagaimanapun ia bergantung pada syarikat Belgium itu sama ada mahu membuka semula operasi Eye On Malaysia atau menjualnya kepada syarikat lain.
''Kerajaan negeri tidak kejam terhadap Fitraco setelah mereka enggan menerima tawaran RM10 juta. Saya memberi kelonggaran kepada mereka untuk membuat pilihan sama ada membuka semula operasi Eye On Malaysia, menjual atau menyewa kepada syarikat swasta yang berminat.
''Kerajaan negeri tidak akan lagi melabur ke atas Eye One Malaysia jika syarikat dari Belgium itu ingin meneruskan operasi roda gergasi itu, cuma mereka perlu membayar sewa tanah dengan kadar yang akan dirundingkan semula," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Hotel Abadi yang dalam pembinaan di Melaka Raya dekat sini semalam.
Sebelum ini, kerajaan negeri memberi tempoh 10 hari kepada Fitraco untuk menerima tawaran daripada kerajaan negeri bagi membeli roda gergasi itu dengan harga RM10 juta.
Mohd. Ali berkata, jika syarikat terbabit masih enggan menerima tawaran tersebut setelah tamat tempoh 10 hari yang diberikan, kerajaan negeri akan mengenakan sewa tanah yang menempatkan roda gergasi itu dengan kadar RM10,000 sehari.
Tempoh 10 hari itu akan berakhir esok.

Mengenai tempoh yang diberikan, Ketua Menteri berkata, kerajaan negeri akan bersikap lebih adil terhadap pemilik asal Eye On Malaysia tersebut untuk mengambil langkah tertentu bagi roda gergasi itu beroperasi semula.
''Jika semua pilihan yang diberikan oleh kerajaan negeri gagal dilaksanakan oleh Fitraco, mungkin mereka boleh memindah roda gergasi ke tempat lain dan kita ada rancangan untuk membeli roda gergasi baru dari China," katanya.

Mohd. Ali berkata, sudah ada syarikat swasta menawarkan diri untuk membeli roda gergasi sama seperti Eye On Malaysia dan bercadang untuk menempatkannya di Dataran 1Malaysia di Klebang.

sumber:utusan

Sunday, 25 April 2010

Kerja-kerja melukis mural sekitar sungai Melaka